COVID-19: Thailand kesan 15 kes positif baharu libatkan pelancong asing

Astro Awani
November 10, 2021 00:10 MYT
Pelancong asing tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand, 1 Nov, 2021. (Foto AP)
THAILAND mengesahkan 15 kes baharu COVID-19 dalam kalangan pelancong asing yang masuk ke negara itu.
Kes dikesan seminggu selepas Thailand membuka semula pintu sempadan untuk pelancong asing bermula 1 Nov lalu.
Data Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) pada Isnin mendedahkan, ujian saringan COVID-19 yang dijalankan semasa ketibaan mengesan 15 kes positif.
Sehingga 6 Nov, lebih 90,000 orang memohon visa untuk memasuki Thailand, dengan 34,000 daripadanya diluluskan.
Pada hari pertama sempadan dibuka semula sahaja, lebih 20,000 pelancong dari Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom, Jepun dan Korea tiba di Thailand.
Thailand pada 1 Nov membuka semula negaranya untuk dilawati pelancong asing dari 60 negara dalam usaha mencergaskan semula ekonomi mereka yang banyak bergantung kepada industri pelancongan.
Di bawah peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Thailand mewajibkan pelancong asing memohon visa dan menunjukkan sijil vaksinasi apabila masuk ke negara itu.
Manakala bagi pelancong yang tidak lengkap divaksin, mereka perlu menjalani kuarantin sehingga 10 hari sebelum dibenarkan masuk.
#COVID-19 #Pelancong asing #Thailand #buka pintu sempadan