COVID-19: Thailand jangka terima sehingga 20 juta dos vaksin suku kedua tahun ini

Bernama
Mei 7, 2021 05:28 MYT
Thailand bakal menerima antara 10 hingga 20 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 pada suku kedua tahun ini. - Foto REUTERS
BANGKOK: Thailand bakal menerima antara 10 hingga 20 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 pada suku kedua tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirankul.
"Vaksin Pfizer dijangka dapat dihantar pada suku ketiga dan keempat tahun ini," katanya di Facebook.
Beliau berkata rundingan dengan pengilang vaksin berjalan lancar.
Seramai 1.5 juta orang telah menerima vaksin termasuk 422,511 individu yang sudah mendapat kedua-dua dos, setakat 5 Mei. Thailand memulakan program vaksinasi pada 28 Februari.
Thailand yang sudah menerima sejumlah 3.5 juta dos Sinovac China dan 117,000 dos AstraZeneca, berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin kerana menghadapi gelombang ketiga wabak COVID-19 sejak April selepas peningkatan jumlah kes dan kematian yang mendadak.
Dalam tempoh 24 jam, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata Thailand mencatatkan 2,044 kes baharu dan 27 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu berjumlah 78,855 dan 363 kematian.
Pada gelombang ketiga sejak awal April, Thailand mencatatkan 49,992 kes dan 269 kematian.
Sementara itu, jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata Bangkok memerlukan lebih banyak katil hospital.
"Permintaan untuk katil di Bangkok dan wilayah berdekatan akan terus meningkat hingga minggu kedua dan ketiga bulan ini berikutan proses pengesanan kes aktif.
"Sebuah hospital lapangan baharu dengan lebih 1,000 katil untuk pesakit dalam keadaan serius akan didirikan," katanya.
-- BERNAMA
#Thailand #vaksin #Pfizer #COVID-19 #Anutin Charnvirankul #Pfizer-BioNTech
;