COVID-19: Thailand catat kematian tertinggi dalam sehari, Kemboja risau gelombang seterusnya
Agensi
Mei 2, 2021 15:25 MYT
Mei 2, 2021 15:25 MYT
BANGKOK: Kementerian Kesihatan Thailand pada Ahad melaporkan 1,940 lagi kes positif COVID-19 dengan 21 kematian, menjadikannya jumlah korban nyawa tertinggi buat hari kedua berturut-turut bagi negara itu, lapor Reuters.
Thailand sejak awal mengawal penularan virus menerusi penguatkuasaan sekatan pergerakan dan juga kawalan sempadan yang ketat. Namun, gelombang ketiga yang bermula pada awal April, termasuk ancaman varian B.1.1.7, menjadi punca kepada separuh daripada jumlah kes jangkitan dan kematian.
Angka terbaru pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Gajah Putih itu sebanyak 68,984 kes sejak pandemik bermula. Angka kematian setakat ini adalah 245 orang.
Thailand setakat ini sudah memvaksinasi sejumlah 1.5 juta orang, kebanyakannya petugas perubatan dan golongan rentan, menggunakan dos Sinovac dan AstraZeneca.
Program vaksinasi besar-besaran akan bermula pada bulan Jun, dengan suntikan dos AstraZeneca yang dihasilkan secara tempatan. Pendaftaran vaksin kini dibuka kepada umum pada hujung minggu ini dengan sasaran imunisasi ke atas 70 peratus dewasa di negara yang berpopulasi 66 juta orang itu.
Sementara itu di PHNOM PENH, kerajaan Kemboja yang selama ini menarik nafas lega kerana berada dalam senarai negara yang tidak ketara terkesan, kini melihat trend peningkatan COVID-19 dengan 730 kes baharu direkodkan.
Kementerian Kesihatan Kemboja pada Ahad mengeluarkan kenyataan, negara itu sedang bertungkus-lumus mengawal impak gelombang jangkitan yang muncul sejak dua bulan lalu.
Penularan yang dikesan buat kali pertama pada penghujung Februari telah menyebabkan jangkitan kepada 14,520 orang keseluruhannya, selain 103 kematian.
"COVID-19 terus mengancam kita semua. Tolong teruskan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan kebersihan, penjarakan fizikal dan jangan tinggalkan kediaman masing-masing kerana penularannya meluas dalam komuniti, di negara jiran dan di seluruh dunia,” kata Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit Kemboja pada Ahad.
Di Phnom Penh, yang mencatatkan kes COVID-19 tertinggi, kini dalam perintah berkurung sehingga 5 Mei, sementara beberapa daerah diisytihar sebagai zon merah