COVID-19: Thailand catat empat kes baharu, tanpa kematian

Bernama
Jun 26, 2020 19:58 MYT
Sejak 3 April, sejumlah 46,569 warga Thailand pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan kesihatan negara itu.
Empat warganegaranya yang pulang dari luar negara adalah pesakit COVID-19 terbaharu di Thailand, menjadikan jumlah keseluruhan 3,162 kes dengan kematian kekal 58 kes.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata empat pesakit itu berusia antara 22 hingga 53 tahun, masing-masing dua tiba dari Sudan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Hari ini juga menandakan 32 hari tanpa jangkitan tempatan dalam negara.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh alpa. Kita perlu sentiasa pastikan penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan yang baik untuk mengelakkan gelombang kedua pandemik COVID-19," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Sejak 3 April, sejumlah 46,569 warga Thailand pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan kesihatan negara itu dan sejumlah 225 atau 0.48 peratus diuji positif COVID-19.
-- BERNAMA
#Bangkok #COVID-19 #kes jangkitan #kes positif #Thailand
;