COVID-19: Thailand catat 157 kes baharu, satu kematian

Bernama
Februari 10, 2021 00:06 MYT
Thailand mencatatkan 167 kes baharu COVID-19 dan satu lagi kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Thailand mencatatkan 167 kes baharu COVID-19 dan satu lagi kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu kepada 23,903 dengan 80 kematian.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian tunggal itu melibatkan seorang perempuan warga Thailand berusia 65 tahun dari Samut Sakhon yang merupakan pesakit kanser larinks dan mempunyai masalah kesihatan yang kronik.
Wanita itu diuji positif pada 1 Jan dan meninggal dunia pada Isnin malam (8 Feb).
Beliau berkata daripada 157 kes baharu, 106 melalui pengesanan kes aktif, 38 kes melibatkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan 13 kes import, termasuk lima kru udara Indonesia yang memohon penginapan sementara di Thailand.
Thaweesilp berkata usaha pengesanan kes aktif akan diteruskan walaupun semua kumpulan sasar di Samut Sakhon, pusat penularan terbaru pandemik itu di Thailand telah diuji.
"Pihak berkuasa kesihatan awam telah menguji kira-kira 100,000 orang di Samut Sakhon dan lebih kurang 7,000 positif COVID-19.
"Kami akan teruskan usaha pengesanan kes aktif dan menyasarkan 5,000 ujian sehari (di Samut Sakhon)," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
-- BERNAMA
#Thailand #kes baharu #COVID-19 #CCSA #Thaweesilp Wissanuyothin #Bangkok #Indonesia #Samut Sakhon
;