COVID-19: Thailand catat 1,919 kes baharu, 31 kematian

Bernama
Mei 11, 2021 04:35 MYT
Bagi membantu rakyat yang terkesan dengan penularan terbaharu COVID-19, kerajaan Thailand minggu lalu meluluskan pakej rangsangan ekonomi tambahan bernilai 255 bilion baht. - Gambar fail REUTERS
BANGKOK: Thailand melaporkan 1,919 kes COVID-19 baharu dan 31 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu 86,924 dan 452 kematian setakat ini.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata daripada 1,919 kes baharu, 1,902 adalah jangkitan tempatan dan 17 kes import.
"Sehingga kini, sejumlah 29,435 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 1,207 dalam keadaan serius dan 390 menggunakan alat bantuan pernafasan," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini semalam.
Taweesin berkata kematian baharu itu termasuk 16 wanita dan 15 lelaki berusia antara 34 hingga 94 tahun. Dua daripadanya adalah warga asing, masing-masing dari Ukraine dan Perancis.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengatakan kabinet semalam meluluskan projek bernilai 45 bilion baht untuk merangsang ekonomi tempatan. Namun, beliau tidak memperincikannya.
Bagi membantu rakyat yang terkesan dengan penularan terbaharu, kerajaan Thailand minggu lalu meluluskan pakej rangsangan ekonomi tambahan bernilai 255 bilion baht.
-- BERNAMA
#Thailand #COVID-19 #kes baharu #Prayuth Chan o-cha #ekonomi #kerajaan #Perdana Menteri #Jangkitan tempatan #kes import #Taweesin Visanuyothin #kematian #warga asing #kabinet #pakej rangsangan ekonomi
;