COVID-19: Thailand buka lebih banyak hospital lapangan
Bernama
Mei 20, 2021 05:06 MYT
Mei 20, 2021 05:06 MYT
BANGKOK: Thailand membuka hospital lapangan yang keenam di Bangkok susulan lonjakan kes COVID-19 sejak awal April.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) membuka hospital lapangan Ratchapipat 2 di Wat Si Sudaram Worawihan di Bangkok Noi.
"Ini adalah hospital lapangan pertama di kuil," katanya pada sidang media COVID-19 di sini semalam.
Ketika jumlah kes terus melonjak di Bangkok, pihak berkuasa berkaitan menjadikan beberapa stadium serta dewan pusat pameran sebagai hospital lapangan kerana Thailand mensyaratkan semua pesakit COVID-19 dirawat dan ditempatkan di hospital.
Sejak 24 jam lalu, Bangkok merekodkan 1,001 lagi kes jangkitan menjadikan keseluruhan kes harian baharu sebanyak 2,636 dengan 25 kematian. Secara keseluruhan seramai 119,585 orang dijangkiti virus itu dengan korban sebanyak 703.
Daripada 2,636 kes baharu, Taweesin berkata, 2,578 membabitkan penduduk tempatan dengan 671 daripadanya banduan, 58 kes import warga tempatan, 54 pulang dari Kemboja dan masing-masing seorang dari Malaysia dan Jepun.
Berhubung kes kematian, beliau berkata, ia membabitkan 18 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 41 dan 94 tahun termasuk 11 di Bangkok, Pathum Thai (tiga) dan Chiang Mai (dua).
"Sehingga kini 42,246 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 1,213 berada dalam keadaan kritikal dan 405 terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan," katanya.
-- BERNAMA
#Thailand
#COVID-19
#Bangkok
#hospital lapangan
#Taweesin Visanuyothin
#Wat Si Sudaram Worawihan
#kuil
#Ratchapipat 2
#stadium
#pusat pameran
#dewan
#pesakit COVID-19