COVID-19: Thailand beri lebih banyak kelonggaran
Bernama
September 23, 2022 04:06 MYT
September 23, 2022 04:06 MYT
BANGKOK: Pelawat ke Thailand kini tidak lagi perlu menunjukkan bukti telah lengkap vaksin COVID-19 untuk memasuki negara itu mulai bulan depan.
Pelawat juga tidak lagi perlu mengemukakan keputusan ujian pantas COVID-19 semasa ketibaan, antara langkah yang diambil untuk melonggarkan sekatan COVID-19 serta mempromosikan perjalanan dan juga perniagaan.
Jurucakap Pusat bagi Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata memandangkan situasi pandemik itu semakin baik, Thailand akan menamatkan darurat seluruh negara, yang dilaksanakan pada 24 Mac 2020 bagi membendung penularan COVID-19, pada 30 September ini.
Beliau berkata pesakit COVID-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan, tidak perlu dikuarantin.
"Kedudukan COVID-19 akan diturunkan daripada penyakit berjangkit berbahaya kepada penyakit berjangkit dalam pengawasan" mulai 1 Okt," katanya pada sidang media.
Beliau berkata CCSA akan dibubarkan dan menamatkan peranannya dalam membendung COVID-19.
Thailand menyasarkan sekurang-kurangnya 10 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini, dengan 1.5 juta pelancong asing dari Oktober hingga Disember.
Sepanjang 24 jam lepas, Thailand merekodkan 752 kes COVID-19 dengan sembilan kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 4,677,090 dan 32,692 kematian.
-- BERNAMA