COVID-19: Terlalu rindu pelanggan, pemilik restoran Belgium ini 'hidang' pada boneka
Agensi
Februari 3, 2021 15:03 MYT
Februari 3, 2021 15:03 MYT
RIXENSART: Seorang pemilik restoran di Brussels mengadu dia terlalu merindui pelanggannya sejak perniagaannya dipaksa untuk menghentikan operasi sejak Oktober lalu di bawah undang-undang Belgium.
Selain kehilangan punca pendapatan, Therese Mahieu terasa sebahagian daripada dirinya kini 'kosong', lebih-lebih lagi apabila dia tidak dapat berhubung secara langsung dengan semua pelanggannya.
Untuk mengubati kerinduan itu, Mahieu telah mengisi kekosongan tempat duduk di dalam restorannya dengan meletakkan patung boneka yang pelbagai rupa bentuk.
Dia kemudiannya menuang minuman ke dalam gelas di hadapan boneka-boneka itu, yang turut dipakaikan rambut palsu, topi dan skaf.
Semua itu adalah sebahagian daripada ekspresi bantahannya kepada peraturan ketat yang dikenakan ke atas pemilik perniagaan sepertinya.
Semua boneka tersebut, yang dihasilkan dengan belon, memberikan Mahieu sedikit perasaan 'gembira' selepas mendapati restorannya, Chez Therese, di bandar Rixensart, semakin terasing daripada komuniti.
Meskipun belum sepenuhnya berdepan lonjakan gelombang ketiga virus korona, negara yang menjadi tuan rumah Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu merupakan antara negara dengan kematian tertinggi akibat COVID-19 per kapita di dunia.
#pandemik
#COVID-19
#sekatan pergerakan
#Belgium
#bisnes terjejas
#restoran ditutup
#pelanggan
#kehilangan pendapatan