COVID-19: Tempahan vaksin di Itali melonjak
Astro Awani
September 19, 2021 07:29 MYT
September 19, 2021 07:29 MYT
TEMPAHAN bagi mendapatkan vaksin di Itali melonjak minggu ini.
Ia selepas kerajaan negara itu mengumumkan semua pekerja mesti menunjukkan bukti sudah menerima suntikan, disahkan negatif atau telah pulih daripada COVID-19 baru-baru ini.
Pihak berkuasa Itali berkata, di peringkat kebangsaan, terdapat peningkatan dalam tempahan untuk dos pertama antara 20 peratus dan 40 peratus berbanding minggu lalu.
Pesuruhjaya, Francesco Figliuolo dalam satu kenyataan menyebut, tempahan dos pertama vaksin meningkat 35 peratus berbanding waktu yang sama minggu sebelumnya.
Berdasarkan data dikeluarkan kerajaan, hampir 41 juta penduduk Itali sudah lengkap divaksinasi setakat ini.
Daripada jumlah itu, hampir 76% adalah penduduk berusia lebih 12 tahun.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tetap khuatir dengan penangguhan menjelang musim sejuk beberapa bulan lagi.
Justeru itu, kerajaan Itali mengambil langkah memperluaskan program yang dikenali sebagai “green pass” kepada semua tempat kerja awam dan swasta.
Diperkenalkan pada Ogos khusus untuk pengendali restoran, muzium dan acara sukan, pas berkenaan menunjukkan bukti vaksinasi, ujian negatif COVID-19 atau pemulihan daripada virus itu.
Minggu ini, kerajaan perpaduan pimpinan perdana menteri Mario Draghi bersetuju untuk memperluasnya ke semua tempat kerja mulai 15 Oktober dengan pekerja yang enggan mematuhi dianggap tidak hadir tanpa gaji.
Mereka yang dikecualikan menerima vaksin kerana masalah kesihatan akan diberikan ujian saringan COVID-19 secara percuma.
Itali merupakan negara Eropah pertama berdepan tekanan penuh pandemik ini pada Februari 2020 dan mencatatkan jumlah kematian terburuk dalam kalangan Kesatuan Eropah (EU) dengan lebih 130,000 korban.
Ekonominya merudum hingga menyebabkan kemelesetan teruk susulan kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan tahun lalu.
Bagaimanapun, dengan jumlah kes yang terkawal sejak musim bunga, pertumbuhan dijangka meningkat tahun ini dibantu suntikan dana pemulihan EU yang besar.