COVID-19 telah kukuhkan hubungan Malaysia-China
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 1, 2020 12:24 MYT
Oktober 1, 2020 12:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 telah menjadikan hubungan dua hala antara Malaysia-China semakin kukuh, kata Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.
Ujarnya, ketika kes COVID-19 memuncak di Malaysia dan China 10 bulan yang lalu, kedua-dua buah negara telah berkongsi pahit getir menempuh pandemik itu bersama-sama.
"Kini pelitup muka dan sarung tangan adalah tanda persahabatan kita bersama. Lebih utama, kami berbangga melihat pertumbuhan pelaburan China di Malaysia dan eksport Malaysia ke China pada separuh pertama tahun 2020, mengetepikan tekanan dari ekonomi dunia lain.
"Ini sekali lagi membuktikan pelengkap dan prospek cerah kerjasama bilateral kita," katanya pada Resepsi Hari Kebangsaan Kedutaan China di Malaysia dan majlis perpisahan beliau.
Bergerak ke hadapan, Bai Tian berkata China akan terus bekerjasama dengan Malaysia dan mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan vaksin.
Tambahnya, Malaysia dan China akan terus menentang pandemik COVID-19 dan memenangi 'peperangan pandemik' itu secara bersama.
"China juga berharap untuk bekerjasama dengan semua negara termasuk Malaysia dalam mempromosi solidariti dan kerjasama antarabangsa, mengangkat multilateralisme dan keadilan antarabangsa.
"Ayuh kita bersama menamatkan konflik serantau dan isu global. Kita perlu bersama menghidupkan kembali ekonomi global ke arah pembangunan dan kesejahteraan. Bersama kita wujudkan masa hadapan yang lebih kepada setiap individu," ujarnya.
Beliau yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan dan pulang ke China tahun ini, akui usaha mengukuhkan kerjasama Kuala Lumpur-Beijing adalah misi utama beliau serta duta-duta yang lain sebelum beliau.
Bai Tian turut berharap kerjasama ekonomi yang sebelum ini tertumpu kepada industri pembuatan, perdagangan barangan utama dan kontrak pembinaan akan beralih ke tahap yang lebih tinggi seperti elektronik berkualiti tinggi, bio-perubatan dan tenaga hijau.
#China
#pelaburan
#koronavirus
#pandemik
#Malaysia
#ekonomi
#Bai Tian
#Duta China ke Malaysia
#hubungan diplomatik
#bilateral