COVID-19: Syria catat kematian pertama
Nailah Huda
Mac 30, 2020 12:24 MYT
Mac 30, 2020 12:24 MYT
SEORANG wanita yang dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan menjadi korban pertama COVID-19 di Syria, umum kementerian kesihatan negara itu pada Ahad.
“Wanita itu meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan kepada berita tempatan SANA.
Hasil ujian yang dijalankan mendapati wanita berkenaan positif COVID-19, namun tiada perincian diberikan mengenai sumber jangkitan tersebut.
Sehingga kini, Syria hanya melaporkan sembilan kes positif koronavirus.
Petugas kesihatan bagaimanapun mendakwa lebih banyak lagi kes belum dilaporkan.
Pihak berkuasa nafi cuba menyembunyikan jumlah sebenar kes, namun telah melaksanakan perintah berkurung untuk mengekang penularan virus itu.
Penutupan premis, sekolah, universiti, masjid dan kebanyakan pejabat kerajaan serta pengangkutan awam menyebabkan ramai dalam kalangan rakyatnya bimbang.
Beberapa bandar turut menyaksikan pembelian panik serta kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang pada awal perintah ‘lockdown’ itu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Syria berdepan dengan risiko tinggi untuk penularan COVID-19 secara berleluasa akibat sistem kesihatannya yang lumpuh, dibayangi oleh peperangan selama sembilan tahun.
Pada Ahad, kerajaan melarang sebarang pergerakan antara wilayah sehingga 16 April.
Perintah berkurung turut dilaksanakan sejak minggu lepas yang mengarahkan sebarang perniagaan dan kedai ditutup dari 6 petang sehingga 6 pagi.