COVID-19: Suruhanjaya Eropah cadang negara anggota bekerjasama hasilkan vaksin

Astro Awani
Mei 6, 2021 05:38 MYT
Stella Kyriakides menjelaskan, setakat ini, hanya Remdesivir satu-satunya ubat yang diluluskan EU, untuk merawat pesakit COVID-19. - AP
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah mencadangkan negara anggota bekerjasama membangunkan vaksin COVID-19 untuk kegunaan blok itu.
Langkah itu akan membantu mewujudkan tambahan 10 rawatan berpotensi untuk virus COVID-19.
Badan eksekutif suruhanjaya itu memaklumkan sasarannya untuk memperkenal tiga lagi vaksin menjelang Oktober.
Komisioner Kesihatan EU, Stella Kyriakides menjelaskan, setakat ini, hanya Remdesivir satu-satunya ubat yang diluluskan Kesatuan Eropah (EU) untuk merawat pesakit COVID-19.
“Ketika ini, kami hanya menggunakan Remdesivir yang menerima kelulusan pasaran.
"Sasaran kami untuk strategi terapeutik adalah untuk bergerak ke hadapan secepat mungkin untuk membolehkan lebih banyak ubat-ubatan diluluskan secepat mungkin,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama perolehan vaksin boleh dilancarkan dengan kelulusan anggota EU.
Sekurang-kurangnya lima negara anggota diperlukan untuk memulakan prosedur.
Selain tambahan tiga ubat yang dijangka diluluskan Oktober depan, badan eksekutif juga memaklumkan dua lagi jenis rawatan akan diluluskan hujung tahun ini.
Beliau juga yakin 70 peratus populasi dewasa EU akan divaksin menjelang Julai.
#EU #COVID-19 #vaksin #Remdesivir #Kesatuan Eropah #Suruhanjaya Eropah #Stella Kyriakides
;