COVID-19 sudah lepasi puncak, New York dibuka semula selepas 15 Mei - Gabenor

Agensi
April 27, 2020 12:02 MYT
Pembukaan semula ekonomi akan memfokus kepada sektor pembuatan dan pembinaan. -REUTERS
NEW York dijangka akan dibuka semula secara berperingkat mulai pertengahan Mei ini.
Ia ekoran keyakinan bersandarkan beberapa indikator bahawa wabak COVID-19 itu telah melepasi puncaknya di kota metropolitan tersebut.
Menurut Gabenor Andrew Cuomo pada Ahad, satu garis panduan disediakan untuk membuka semula negeri itu selepas 15 Mei, bermula dengan pembukaan beberapa premis perniagaan ‘berisiko rendah’ termasuk sektor pembuatan dan pembinaan.
Bagaimanapun pembukaan semula ekonomi akan bermula di utara negeri itu dan bukan di bandar New York yang merupakan kawasan paling teruk terjejas di seluruh Amerika Syarikat (AS).
“Kawasan yang berkemungkinan besar akan dibuka lebih awal adalah di sebelah utara.
“Bandar New York adalah lebih rumit,” kata Cuomo.
Pengumuman itu dibuat ekoran negeri tersebut merekodkan jumlah kes positif paling rendah dalam satu hari sejak hampir sebulan lalu.
“Angka semakin menurun - segala usaha kini mendatangkan kesan positif. Tidak boleh dinafikan kami telah melalui fasa paling teruk.
"Asalkan kita terus bertindak secara berwaspada ketika bergerak ke hadapan, fasa paling teruk seharusnya telah tamat,” kata Cuomo lagi.
Pada masa sama, New York masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung pembukaan sekolah.
Namun, Datuk Bandar Bill de Blasio menganggap sesi persekolahan buat sepanjang tahun akademik ini telah dibatalkan.
New York pada Ahad melaporkan 367 kematian dalam tempoh 24 jam, iaitu angka terendah sejak 30 Mac apabila 332 kematian dicatatkan.
COVID-19 setakat ini telah meragut 16,966 nyawa di negeri itu, iaitu kira-kira satu pertiga daripada kematian di seluruh Amerika.
#Amerika Syarikat #Andrew Cuomo #Bill de Blasio #buka semula ekonomi #COVID-19 #koronavirus #membuka ekonomi #New York
;