COVID-19: Suami isteri antara tiga kes baharu di Thailand
Bernama
Mac 10, 2020 05:46 MYT
Mac 10, 2020 05:46 MYT
Sepasang suami isteri adalah antara tiga pesakit baharu yang didiagnosis dengan jangkitan virus COVID-19 di Thailand, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 53.
Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Sophon Iamsirithawon berkata wanita berusia 46 tahun itu yang pulang dari Itali pada 28 Feb lepas dan suaminya, 47, yang tidak bersamanya ke negara itu, telah diuji positif dan disahkan dijangkiti virus maut tersebut.
Sophon berkata seorang wanita rakyat Thailand berumur 41 tahun, kontak rapat seorang pesakit COVID-19 yang baru pulang dari Itali, turut diuji positif bagi virus itu.
"Setakat ini, sejumlah 33 pesakit telah dibenarkan keluar hospital manakala 19 lagi masih menerima rawatan," katanya pada sidang akhbar harian berkaitan COVID-19 di sini pada Selasa.
Sejak penularan wabak itu pada Januari, Thailand telah mencatat 53 kes COVID-19 yang disahkan dengan satu kematian.
Sementara itu, Sophon menasihati rakyat Thailand agar mengelak melakukan perjalanan kurang penting ke Eropah termasuk Perancis, Sepanyol, England, Switzerland, Belanda, Sweden dan Belgium susulan penularan jangkitan COVID-19.
"Jika anda perlu berkunjung ke negara-negara tersebut, sila ambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengekang penularan virus itu," katanya.
Mengulas mengenai seorang pekerja Grab Holdings Inc, yang berpangkalan di Singapura dan sebelum itu telah berkunjung ke pejabat syarikat tersebut di Bangkok serta diuji positif COVID-19, Sophon berkata kontak rapat pesakit termasuk rakan sekerjanya di Bangkok telah diuji negatif bagi virus berkenaan.
Grab Holdings Inc telah menutup pejabatnya di Singapura dan Thailand untuk melakukan pembersihan selama lima hari selepas seorang pekerjanya yang berpangkalan di Singapura diuji positif bagi virus itu.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Yongyos Thammawut berkata terdapat sejumlah 188 rakyat Thailand yang baru pulang dari Korea Selatan, termasuk lapan dari Gyeongsang dan bandar Daegu. Mereka kini dikuarantin di Pangkalan Tentera Laut Sattahip, Chonburi.
"Terdapat 20 orang yang dikuarantin di kemudahan itu, yang terdiri daripada lima wanita hamil, empat kanak-kanak dan 11 individu yang mempunyai penyakit kronik dan memerlukan penjagaan khusus," katanya.
Thailand kini bersiap sedia untuk menyambut kepulangan beribu-ribu rakyatnya yang bekerja di Korea Selatan, termasuk 'Phi Noi' yang merujuk kepada pekerja haram Thailand di Korea Selatan.
Kementerian Luar Thailand berkata terdapat kira-kira 209,000 pekerja Thailand, termasuk 152,400 orang yang bekerja secara haram, di Korea Selatan.
-- BERNAMA
#Bangkok
#COVID-19
#Itali
#jangkitan
#kontak rapat
#Korea Selatan
#kuarantin
#pekerja Grab
#pekerja haram
#penularan
#perjalanan
#positif
#Singapura
#Sophon Iamsirithawon
#suami isteri
#Thailand
#wabak
#Yongyos Thammawut