COVID-19: Singapura wajibkan kuarantin 21 hari individu dengan sejarah perjalanan ke negara berisiko

Agensi
Mei 4, 2021 20:17 MYT
Menurut laporan CNA, negara dan wilayah berisiko tinggi yang dimaksudkan itu adalah merujuk kepada semua tempat kecuali Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong dan Macau. - REUTERS
SINGAPURA: Pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara dan wilayah yang berisiko tinggi baru-baru ini akan diberikan Notis Tinggal Di Rumah (SHN) atau kuarantin kendiri selama 21 hari di fasiliti terpilih bermula 8 Mei.
Ini bermaksud, individu yang kini diberikan notis tinggal di rumah dan mempunyai beberapa tempoh hari sebelum melengkapkannya, perlu menjalani tujuh hari lagi di lokasi kuarantin mereka.
Menurut laporan CNA, negara dan wilayah berisiko tinggi yang dimaksudkan itu merujuk kepada semua tempat kecuali Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong dan Macau.
Bercakap pada sidang media pada Selasa, Pengerusi Bersama Kementerian berkaitan COVID-19 Singapura, Lawrence Wong menyifatkan keadaan COVID-19 global telah 'bertambah buruk', dengan varian baru dan kes baru yang menular dari Asia Selatan ke Asia Tenggara.
Jelasnya, penguatkuasaan yang lebih ketat itu dijangka dilaksanakan sehingga akhir Mei, dan pada masa sama pihaknya akan menilai situasi semasa dan akan menambah baik langkah-langkah sekatan tersebut mengikut keadaan pandemik ini.
Selain itu, langkah-langkah perbatasan untuk kemasukan pelancong, mulai 8 Mei ini akan ditentukan berdasarkan sejarah perjalanan individu tersebut baru-baru ini dalam 21 hari terakhir ke negara-negara atau wilayah, iaitu tempoh lebih lama berbanding sejarah perjalanan 14 hari yang dilaksanakan ketika ini.
Semua penguatkuasaan ini dilakukan selepas pihak berkuasa republik itu pada Jumaat melarang kemasukan pengunjung dalam tempoh jangka pendek dan pemegang pas jangka panjang dengan sejarah perjalanan baru-baru ini dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.
#Singapura #pelancong #pandemik #COVID-19 #China #sempadan #kawalan ketat #Asia #varian baharu #Notis Tinggal di Rumah
;