COVID-19: Singapura ubah format sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan 2020
Bernama
Mei 20, 2020 20:32 MYT
Mei 20, 2020 20:32 MYT
Singapura akan meneruskan Perbarisan Hari Kebangsaannya (NDP) pada 9 Ogos 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19, ia tidak dalam format tradisi biasa, menurut Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen.
Dr Ng berkata, adalah tidak mungkin untuk mengadakan NDP dalam format biasa, di mana ribuan peserta berlatih untuk berbulan dan dengan lebih ramai lagi yang berhimpun untuk menyaksikannya di Floating Platform di Marina Bay atau Padang.
Menteri itu menyatakan NDP akan dibawakan terus ke rumah-rumah seluruh rakyat Singapura, di keseluruhan pulau itu.
"... itulah konsep NDP 2020," katanya dalam hantaran terkini Facebooknya.
Awal hari ini, The Straits Times melaporkan, tidak seperti pebarisan sebelum ini, sambutan ulang tahun Singapura ke-55 akan memperlihatkan banyak segmen perbarisan dipindahkan ke pusat bandar dan disiarkan di televisyen serta platform internet.
Laporan itu menyebut, buat pertama kali acara biasa seperti terbang lintas lalu bendera Singapura, pertunjukkan jet pejuang F-15SG, terjunan bebas (payung terjun) Red Lions dan perbarisan kenderaan, akan diadakan dilokasi berbeza di pulau tersebut.
Laporan itu menyebut pertunjukan itu juga akan memberikan pengiktirafan kepada petugas barisan hadapan menentang COVID-19, dan menambah 'Together, A Stronger Singapore' sebagai tema sambutan tahun ini.
Memetik kata-kata Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP tahun ini, Brigadier Jeneral Federick Choo, kesihatan dan kebajikan peserta adalah perkara yang paling utama dengan pengurangan kira-kira 90 peratus dalam jumlah peserta untuk perbarisan Padang.
Choo yang juga merupakanKomander Tiga Division Singapura dari Tentera Singapura dilaporkan berkata, terdapat kira-kira 1,800 orang pada perbarisan tahun lepas, dan jawatankuasa tersebut bercadang untuk hanya melibatkan 200 orang tahun ini.
Tiada latihan telah diadakan sehingga kini dan mereka akan bermula hanya selepas tempoh pemutus rantaian COVID-19, tamat pada 1 Jun, menurut laporan tersebut.
-- BERNAMA