COVID-19: Singapura terap kaedah ujian melepasi standard
Bernama
Jun 9, 2020 04:53 MYT
Jun 9, 2020 04:53 MYT
Singapura sedang menerapkan pelbagai cara untuk mengesan termasuk mengekstrak sisa air dari kumbahan bagi ujian cebisan COVID-19.
Ini didedahkan oleh Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong ketika berucap dalam siaran televisyen kebangsaan mengenai 'Living with COVID-19' di sini, pada Selasa.
"Ini memberi tambahan petunjuk bagi memberitahu kita jika sesebuah kumpulan khusus seperti mereka yang tinggal di asrama, telah menyebabkan jangkitan dalam kalangan mereka," kata Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan petugas pelbagai kementerian berhubung COVID-19.
Hingga 8 Jun, Singapura mengenal pasti 35,971 kes positif melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama atau 94 peratus daripada jumlah 38,296 kes COVID-19 yang dicatatkan pada Isnin.
Adalah dilaporkan bahawa pengawasan kumbahan juga diterapkan di Belanda dan Australia.
Sebagai kaedah ujian yang standard, Wong berkata bahawa republik itu dalam usaha untuk mencapai sasaran 40,000 ujian sehari pada bulan-bulan seterusnya.
"Penambahan kapasiti ujian ini adalah kritikal. Ini bermaksud kita boleh membuat ujian ke atas kumpulan berisiko tinggi dengan lebih meluas," katanya.
Awal April, Wong berkata kira-kira 2,000 ujian telah dijalankan dalam sehari dan kini kami menjangka dapat menjalankan kira-kira 13,000 ujian sehari.
Pada masa kini Singapura dalam fasa pertama membuka semula ekonominya selepas menarik balik kebanyakkan langkah larangan ketat yang dilaksanakan selama lapan minggu sejak 2 Jun.
-- BERNAMA
#COVID-19
#jangkitan
#kes positif
#koronavirus
#Lawrence Wong
#Menteri Pembangunan Nasional
#Singapura
#sisa air kumbahan