COVID-19: Singapura lanjutkan Fasa Penstabilan sebulan lagi sehingga 21 Nov
Bernama
Oktober 20, 2021 04:21 MYT
Oktober 20, 2021 04:21 MYT
SINGAPURA: Singapura akan melanjutkan Fasa Penstabilan selama sebulan hingga 21 Nov kerana lebih banyak masa diperlukan bagi menstabilkan tekanan yang dihadapi sistem penjagaan kesihatan, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 semalam.
Republik itu sebelum ini berada di bawah Fasa Penstabilan sejak 27 Sept lepas dan dijadual berakhir pada 25 Okt, untuk memperlahankan kadar penularan virus dan melindungi sistem penjagaan kesihatan.
Pengerusi bersama MTF, Lawrence Wong pada sidang media maya semalam berkongsi mengenai apa yang dilalui sistem penjagaan kesihatan Singapura ketika ini.
Wong berkata hampir 90 peratus katil pengasingan di hospital Singapura sudah penuh manakala lebih dua pertiga katil unit rawatan rapi (ICU) telah digunakan.
"Kami berusaha untuk menambah kapasiti, tetapi ia bukan hanya masalah katil tambahan atau membeli peralatan baharu. Petugas kesihatan semakin terbeban dan kepenatan.
"Sementara kami berusaha untuk memperkuat pasukan itu, ia mengambil masa. Pada situasi sekarang kami menghadapi risiko sistem kesihatan yang semakin tertekan," katanya.
Menurut MTF buat masa ini terdapat sekitar 1,650 katil pengasingan dan 200 katil ICU di hospital awam.
Sehingga 19 Okt, Singapura mengesan sejumlah 3,994 kes baharu COVID-19 dengan 3,480 jangkitan komuniti, 501 di asrama pekerja migran dan 13 kes import.
Kementerian Kesihatan republik itu mengaitkan situasi itu dengan "lonjakan kes selepas hujung minggu."
Namun, menurut Kementerian Kesihatan pihaknya akan memantau kes untuk beberapa hari akan datang bagi menentukan sama ada "ia lonjakan sementara atau lonjakan terbaru."
Sejak 28 hari lepas, dari 74,641 individu yang dijangkiti, 98.6 peratus tiada gejala atau simptom ringan, 1.0 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.1 peratus di ICU dan 0.2 peratus meninggal dunia.
Secara keseluruhan, setakat ini, Singapura melaporkan 154,725 kes COVID-19 dengan 246 kematian.
-- BERNAMA