COVID-19: Singapura laksana langkah bagi pesawat penerbangan perniagaan

Bernama
Mac 10, 2020 06:18 MYT
Semua pesakit yang tiba menerusi penerbangan medevac perlu disahkan negatif COVID-19 di negara sumber sebelum mereka dibenarkan berlepas ke Singapura. - Gambar hiasan
Semua juruterbang, kru kabin dan penumpang bagi pesawat penerbangan perniagaan dikehendaki membuat pengisytiharan kesihatan mengikut Akta Penyakit Berjangkit sebelum mereka dibenarkan berlepas ke Singapura.
Ia merupakan sebahagian langkah tambahan yang diambil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bagi pesawat penerbangan perniagaan yang beroperasi untuk laluan ke Singapura, berkuat kuasa 12 Mac, 2020 pada 11.59 tengah malam waktu Singapura.
Jika mana-mana anak kapal atau penumpang mengisytiharkan dirinya tidak sihat, pengendali pesawat itu akan diarahkan untuk mengoperasikan penerbangan tersebut sebagai Penerbangan Evakuasi Perubatan (medevac), dan anak kapal atau penumpang yang tidak sihat akan dianggap sebagai pesakit, menurut CAAS menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut CAAS, seorang individu ditakrifkan sebagai tidak sihat sekiranya mengalami demam pada 37.5 darjah celsius atau lebih tinggi; dan/atau menghidapi pneumonia atau simptom pernafasan pada mana-mana tahap keterukan, termasuk batuk, hidung berair, sakit tekak dan kesukaran bernafas.
Semua pesakit yang tiba menerusi penerbangan medevac perlu disahkan negatif COVID-19 di negara sumber sebelum mereka dibenarkan berlepas ke Singapura.
"Mereka juga perlu menerima rawatan hospital di Singapura apabila tiba di sini," menurutnya.
CAAS berkata penilaian risiko pesakit perlu dikemukakan kepada pihak hospital yang menerima.
"Ini turut terpakai bagi pesakit yang kelihatan mempunyai keadaan yang tidak berjangkit," menurut pihak berkuasa itu.
CAAS berkata penumpang dan anak kapal pesawat penerbangan perniagaan bukan medevac, yang menunjukkan demam dan/atau gejala penyakit pernafasan lain sebaik sahaja tiba dan bukan pemastautin Singapura, tidak dibenarkan masuk ke Singapura.
Pesawat itu dikehendaki berlepas semula secepat yang boleh dilaksanakan, dengan mengutamakan aspek perubatan dan keselamatan penerbangan, menurut CAAS.
Pihak berkuasa itu berkata rakyat Singapura, Penduduk Tetap dan pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang yang tiba menerusi penerbangan tersebut akan diminta menjalani proses saringan ketibaan semasa yang mungkin termasuk ujian swab COVID-19 sebelum memasuki Singapura.
"Anak kapal dan penumpang pesawat penerbangan perniagaan yang membuat pengisytiharan palsu boleh didakwa mengikut undang-undang Singapura, termasuk Akta Penyakit Berjangkit.
"Penalti bagi perisytiharan palsu termasuk pemenjaraan dan/atau denda," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Penyakit Berjangkit #caas #COVID-19 #Juruterbang #medevac #penerbangan #Penerbangan Evakuasi Perubatan #penerbangan perniagaan #pengisytiharan kesihatan #pengisytiharan palsu #penumpang #pesawat #saringan #Singapura #ujian swab #undang-undang
;