COVID-19: Singapura kurangkan tempoh notis tinggal di rumah kepada 14 hari

Bernama
Jun 23, 2021 17:49 MYT
Bagaimanapun, kementerian menyatakan pelancong diminta melakukan ujian kendiri secara berkala mengunakan alat ujian diri antigen fast test (ART) pada hari ketiga, ketujuh dan ke-11 selepas tiba di Singapura. - Gambar fail
SINGAPURA: Berkuat kuasa 24 Jun, Singapura akan mengurangkan tempoh Notis Tinggal di Rumah (SHN) di kemudahan khusus kepada 14 hari berbanding 21 hari untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi, menurut Kementerian Kesihatan republik itu hari ini.
Kementerian itu menyatakan Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) telah memantau situasi tempatan dan global, dan keputusan untuk mengurangkan tempoh SHN berdasarkan bukti terkini yang dikumpulkan sejak sebulan lalu.
"Pada akhir April 2021, hanya sedikit maklumat mengenai varian yang membimbangkan (VOC) termasuk tempoh daya tahannya. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami mewajibkan pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi untuk mematuhi SHN 21 hari.
"Kami telah menyemak semula bukti antarabangsa dan data kes tempatan," kata kementerian di laman webnya.
Semua negara atau wilayah dianggap berisiko tinggi kecuali Australia, Brunei Darussalam, Hong Kong, Macau, China dan New Zealand.
Walaupun terdapat peningkatan jangkitan varian baharu, kementerian menyatakan pihaknya tidak menemukan bukti - sama ada data luar negeri atau tempatan yang menunjukkan varian ini mempunyai jangka hayat lebih lama.
Sejak memperkenalkan SHN 21 hari dari 8 Mei 2021, kementerian itu berkata terdapat 270 kes diimport dilaporkan dalam kalangan pelancong pada 22 Jun 2021.
"Semua mereka yang dikuarantin didapati dalam keadaan baik untuk tempoh 14 hari. Oleh itu, kami akan mengurangkan tempoh SHN daripada 21 hari kepada 14 hari, " katanya.
Bagaimanapun, kementerian menyatakan pelancong diminta melakukan ujian kendiri secara berkala mengunakan alat ujian diri antigen fast test (ART) pada hari ketiga, ketujuh dan ke-11 selepas tiba di Singapura, semasa tempoh SHN.
Ujian itu diperlukan memandangkan varian baharu itu lebih mudah berjangkit, selain membolehkan kes jangkitan dikesan lebih awal dan rawatan perubatan yang sesuai dapat diberika secepat mungkin kepada pelancong yang dijangkiti, katanya.
-- BERNAMA
#Singapura #Notis Tinggal di Rumah #pelancong #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #wilayah berisiko #VOC #kesihatan
;