COVID-19: Singapura buka 75 peratus sektor ekonomi, sekolah dijangka dibuka berperingkat
Agensi
Jun 2, 2020 14:15 MYT
Jun 2, 2020 14:15 MYT
Singapura membuka semula 75 peratus ekonominya pada Selasa, sebagai sebahagian daripada pendekatan terkawal fasa ketiga sejak negara itu melaksanakan sekatan pergerakan pada April.
Sektor kewangan, pembuatan elektronik serta logistik kembali beroperasi dengan tahap keselamatan yang ketat setelah ia ditutup dua bulan untuk mencegah penyebaran COVID-19.
Republik itu turut dijangka membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat sepanjang bulan Jun.
Pelajar sekolah rendah, menengah dan pra-universiti akan kembali ke sekolah dalam dua fasa, dengan keutamaan diberikan kepada graduan kohort dan pelajar-pelajar yang memerlukan sokongan tambahan.
Bagaimanapun, kebanyakan operasi kedai runcit, perkhidmatan peribadi, makan di restoran serta aktiviti sosial masih tidak dibenarkan.
Setakat ini, Singapura merekodkan lebih 35,000 kes positif, dengan lebih 90 peratus kes COVID-19 dikesan melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama yang sesak.