COVID-19: Singapura akan percepatkan transformasi struktur ekonomi
Bernama
Jun 21, 2020 08:30 MYT
Jun 21, 2020 08:30 MYT
Singapura perlu menguasai trend utama dalam pembentukan semula ekonomi global dan mempercepatkan transformasi struktur ekonominya sekiranya ingin berjaya pasca COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.
"Dengan COVID-19, daya tahan dan kebolehpercayaan akan menjadi lebih bernilai. Asia dijangka terus kekal menjadi tumpuan utama," katanya pada siri penyiaran nasional kementerian yang bertajuk 'Emerging Stronger Together' di sini, hari ini.
"Peralihan kepada digital akan berlaku dengan pantas. Cara kita hidup dan bekerja akan melalui transformasi," katanya sambil menambah perniagaan dan pekerja perlu disokong untuk melalui trend ini dan membentuk konsep baharu bagi masa depan pasca COVID-19.
Heng berkata ia akan dilakukan dengan tiga cara, membenarkan aliran bebas barangan dan perkhidmatan, melabur dalam prasarana dan memantapkan lagi daya saingnya dalam penyelidikan dan inovasi.
"Dalam dunia pasca COVID-19 yang lebih rapuh, apa juga yang dilakukan di seluruh dunia, kita akan terus mencari pautan baharu bagi membolehkan aliran ini, terutamanya dalam menghubungkan bekalan kritikal ke seluruh dunia.
"Jangan meraguinya: Singapura perlu sentiasa kekal sebagai sebuah negara dagangan yang terbuka. Kita akan gagal jika kita tertutup," katanya.
Singapura, katanya, akan terus melabur dalam prasarananya, "walaupun kita perlu menangguhkan sesetengah projek."
"Projek-projek itu menghubungkan kita kepada dunia, membolehkan kita melakukan perjalanan dengan pantas dan selesa di dalam negara dan memberikan kita semua rumah yang cantik," katanya.
Timbalan perdana menteri berkata pelaburan Singapura dalam penyelidikan dan inovasi akan mengukuhkan lagi daya saingnya.
"Kita sedang memuktamadkan rancangan penyelidikan dan pembangunan kita bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Kita akan memperuntukkan lebih 20 bilion dolar untuk menyokong penyelidikan asas dan gunaan dalam bidang berimpak tinggi seperti sains kesihatan dan bioperubatan, perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Siri tersebut merupakan yang keenam dan terakhir dalam siri penyiaran nasional mengenai apakah masa depan bagi Singapura pasca COVID-19.
-- BERNAMA