COVID-19: SIA terbangkan penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech ke Singapura

Bernama
Disember 21, 2020 04:48 MYT
Menurut SIA, ini juga merupakan penghantaran pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech ke sebuah negara di Asia. Foto: Facebook/Singapore Airlines
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) menerbangkan penghantaran pertama bekalan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech ke Singapura pada lewat petang semalam menggunakan sebuah pesawat pengangkutnya dari jenis Boeing 747-400.
"Penghantaran kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 ke Singapura ini adalah satu pencapaian penting dalam usaha memerangi COVID-19, dan kami berbangga kerana dapat memainkan peranan yang penting dalam usaha ini.
"Ia turut membuktikan kesiapsiagaan SIA dan hab udara Singapura untuk melaksanakan tugasan penting yang membabitkan penghantaran serta pengagihan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa," menurut Naib Presiden Kanan Kargo SIA Chin Yau Seng dalam kenyataan semalam.
Menurut SIA, ini juga merupakan penghantaran pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech ke sebuah negara di Asia.
Vaksin itu dibawa oleh penerbangan SQ7979, yang merupakan perkhidmatan pengangkutan berjadual dari Brussels, Belgium ke Singapura.
Pesawat itu berlepas pada Sabtu dan tiba di Singapura semalam pada 7.55 malam.
Sebelum ini, SIA berkata ia berjaya melakukan penghantaran percubaan pada 19 Dis lepas menggunakan laluan penerbangan pesawat pengangkut yang sama.
-- BERNAMA
#Singapore Airlines #SIA #vaksin #COVID-19 #Singapura #Pfizer-BioNTech #penghantaran pertama #Chin Yau Seng #Kargo SIA
;