COVID-19: Sesi persekolahan di Chicago dibatalkan

Astro Awani
Januari 6, 2022 00:38 MYT
Keadaan sunyi di sebuah sekolah selepas Chicago Public Schools mengumumkan pembatalan kelas susulan kesatuan guru mahu pembelajaran dijalankan secara dalam talian, di Chicago, Illinois, 5 Jan 2022. - REUTERS
SEKOLAH-sekolah awam di Chicago bertindak membatalkan sesi persekolahan selepas kesatuan guru mengundi untuk beralih kepada pembelajaran secara dalam talian.
Kira-kira 350,000 pelajar kembali ke sekolah pada Isnin, selepas cuti musim sejuk dua minggu yang menyaksikan peningkatan jangkitan COVID-19 dan bilangan kemasukan ke hospital dicetuskan varian Omicron.
Tindakan diambil Chicago Public Schools di tengah-tengah perbalahan ramai pihak mengenai protokol keselamatan di sekolah.
Pegawai di daerah sekolah ketiga terbesar di negara itu berkata, mereka tidak akan kembali kepada kelas dalam talian, kerana ia tidak baik untuk pembelajaran dan kesihatan mental kanak-kanak.
Namun, ia disangkal kesatuan guru yang berpendapat, prosedur operasi standard (SOP) keselamatan untuk pembelajaran bersemuka di sekolah-sekolah di daerah itu tidak memuaskan.
Kelas dibatalkan pada Rabu tetapi bangunan sekolah tetap akan dibuka untuk pentadbir, kakitangan serta perkhidmatan penting seperti makanan pelajar.
Semua sekolah di Amerika Syarikat ketika ini sedang bergelut dengan isu sama yang dihadapi di Chicago dan kebanyakan memilih untuk kekal dibuka.
#COVID-19 #sekolah #dalam talian #cuti musim sejuk