COVID-19: Sepanyol catat lebih 30,000 kes selepas cuti Tahun Baharu
Astro Awani
Januari 4, 2021 05:45 MYT
Januari 4, 2021 05:45 MYT
SEPANYOL mempertimbangkan langkah kecemasan susulan peningkatan kes jangkitan baharu dan kematian berkaitan COVID-19 yang dilaporkan.
Ia bertujuan mencegah penularan lebih buruk hingga memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara itu.
Data empat hari susulan cuti panjang baru-baru ini menyaksikan, Sepanyol merekodkan 30,579 kes positif baharu dengan 241 kes kematian.
Menteri Kesihatan Salvador Illa berkata pada Isnin, langkah kecemasan perlu diperketatkan dalam beberapa kes tertentu.
Katanya, walaupun data menunjukkan trend perlahan pada Tahun Baharu dan hujung minggu, jumlah baharu yang direkodkan pada Isnin mengesahkan peningkatan penularan yang drastik sehingga memberi tekanan kepada sistem kesihatan dan menggesa langkah pencegahan yang sesuai.
Setakat ini, negara itu merekodkan hampir 2 juta jangkitan dan lebih 51,000 kematian sejak bermulanya pandemik itu.
Susulan peningkatan kes di Eropah, pihak berkuasa negeri melaksanakan beberapa sekatan yang lebih ketat terhadap pergerakan rakyatnya, aktiviti perniagaan dan majlis sosial.
Antaranya, Catalonia, yang mempunyai lebih 6.6 juta penduduk, akan menyekat semua perjalanan rentas negeri dalam tempoh 10 hari bermula Khamis, menutup pusat beli-belah dan membenarkan hanya penjualan barangan keperluan harian pada hujung minggu sahaja.
Terdahulu, langkah penutupan bar dan restoran serta pembatalan acara kebudayaan telah dilaksanakan.
Dalam pada itu, Illa memaklumkan, pihak berkuasa yakin program vaksinasi di negara itu akan dipercepatkan menjelang minggu hadapan.
Sebelum ini, Sepanyol menerima 720,000 vaksin Pfizer and BioNTech dan setakat ini sudah memberi suntikan kepada 80,000 orang.
#COVID-19
#Pfizer
#BioNTech
#pandemik
#program vaksinasi
#sepanyol
#kes positif
#rentas negeri
#vaksin
#Cuti Tahun Baharu
#langkah kecemasan