COVID-19: Semua 21 kes baharu di Thailand adalah import

Bernama
Disember 7, 2020 19:40 MYT
Terdapat sejumlah 12 kes import termasuk enam warga Thailand - empat yang kembali dari United Kingdom. Foto: Reuters
BANGKOK: Thailand merekodkan 21 kes baharu jangkitan COVID-19 termasuk sembilan lagi rakyatnya yang kembali dari bandar sempadan Tachileik, Myanmar manakala tiada kematian dalam tempoh 24 jam lalu.
Kesemua 21 kes import itu menjadikan jumlah keseluruhan 4,107 kes dengan 60 kematian dilaporkan di negara ini.
Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), dalam kenyataan, memaklumkan sembilan warga Thailand yang bekerja di sebuah pusat hiburan di Tachileik memasuki negara ini melalui pusat pemeriksaan sempadan di daerah Mae Sai di Chiang Rai.
Menurut CCSA, kesemua pesakit berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Chiang Rai Prachanukroh di Chiang Rai.
Terdapat sejumlah 12 kes import termasuk enam warga Thailand - empat yang kembali dari United Kingdom, dua dari Singapura dan enam warga asing - iaitu dua dari Amerika Syarikat, masing-masing satu dari Estonia, India, Jerman dan Emiriah Arab Bersatu.
Sementara itu, Gabenor Chiang Rai Prachon Prachsakul berkata enam lagi kes COVID-19 baharu dilaporkan di wilayah tersebut membabitkan warga Thailand yang kembali dari Tachileik, namun kes itu tidak termasuk dalam jumlah hari ini.
Beliau berkata wanita Thailand yang bekerja di dua pusat hiburan di Tachileik pulang ke negara ini pada hari Rabu dan Sabtu lalu.
Mereka menerima rawatan di Hospital Prachanukroh, katanya pada sidang media hari ini.
Pada 24 Nov lalu, seorang wanita Thailand yang kembali dari Myanmar dan mengelak pusat pemeriksaan serta kuarantin wajib telah diuji positif COVID-19 beberapa hari selepas itu.
Susulan pengesanan kontak, pihak berkuasa kesihatan awam mendapati terdapat lebih ramai wanita Thailand yang menyeberangi sempadan itu dan mengelak kuarantin wajib.
Setakat kini, terdapat sekurang-kurangnya 38 kes yang dilaporkan berkaitan dengan warga Thailand yang kembali dari Tachileik, termasuk 16 kes yang menyelinap masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan imigresen, 14 di fasiliti kuarantin dan dua penularan tempatan.
Pihak berkuasa kesihatan awam meningkatkan pengesanan kontak untuk mencegah gelombang baharu wabak COVID-19 di negara ini.
-- BERNAMA
#Thailand #Myanmar #Amerika Syarikat #COVID-19 #warga asing #gelombang baharu
;