HONG KONG: Puluhan ribu penduduk dilaporkan dapat meneruskan perjalanan antara Hong Kong dan China setiap hari bermula Ahad ini (8 Januari) susulan kelonggaran peraturan baharu.

Memetik laporan CNA, Hong Kong dan China sebelum ini berpegang kepada dasar sifar COVID-19 yang mana sekatan perjalanan yang ketat serta perintah kuarantin menyebabkan jumlah ketibaan jatuh menjunam.

Pelaksanaan peraturan ketat membuatkan ribuan keluarga terpisah, statistik pelancongan jatuh dan banyak perjalanan perniagaan terpaksa dibatalkan menyebabkan Hong Kong berdepan dengan tempoh sukar pada hujung 2022.

Pihak berkuasa Hong Kong mengumumkan, ini merupakan perubahan paling ketara dalam peraturan sempadan sejak diperkenalkan pada awal 2020.

Datuk Bandar John Lee berkata, bermula Ahad ini, seramai 50,000 atau lebih penduduk Hong Kong boleh mendaftar dalam talian untuk melintas sempadan setiap hari melalui tiga pusat pemeriksaan darat.

“Dianggarkan 10,000 lagi akan dapat memasuki tanah besar melalui laut, udara atau jambatan tanpa perlu mendaftar lebih awal,” kata Lee.

Jumlah yang sama akan dibenarkan untuk melakukan perjalanan dari tanah besar ke Hong Kong dan kuarantin mandatori juga akan dibatalkan.

Tambah Lee, beliau meramalkan wujud kesan "sangat besar" terhadap ekonomi Hong Kong yang dilanda kemelesetan.

"2023 akan menjadi lebih hebat, lebih makmur," katanya.

China sebelum ini membuat pusingan-U secara tiba-tiba terhadap kawalan COVID pada 7 Disember, sehingga ketepatan data kes dan kematiannya mendapat perhatian dalam serta luar negara.

Dalam masa sama, Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau berkata Beijing akan membatalkan had kapasiti penerbangan dari Hong Kong dan Macau dan akan menyambung semula transit penerbangan ke tanah besar.

Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Hong Kong dan China akan disambung semula selewat-lewatnya pada 15 Januari.