COVID-19: Sekatan susulan masih dilaksanakan di beberapa negara

Nursyazwani Saiful Sham
Januari 31, 2021 08:41 MYT
Sekatan terpaksa dilakukan di Athens selepas daerah itu tidak menunjukkan sebarang penurunan kes sepanjang Januari. -Reuters
BUKAN hanya di Malaysia, malah beberapa negara masih melaksanakan perintah sekatan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.
Ada juga negara yang melaksanakan sekatan lebih ketat susulan gelombang ketiga yang melanda.
Antaranya di Greece, yang mana kebanyakan operasi perniagaan ditutup dan pihak berkuasa hanya membenarkan servis bawa pulang.
Sekatan tersebut terpaksa dilakukan di Athens selepas daerah itu tidak menunjukkan sebarang penurunan kes sepanjang Januari.
Operasi perniagaan yang tidak penting, yang baharu sahaja beroperasi semula 18 Januari lepas kini hanya dibenarkan untuk mengehadkan jumlah pelanggan untuk mengambil pesanan mereka.
Rancangan untuk membuka sekolah bermula Isnin di Athens juga dihadkan kepada murid gred tiga pertama sementara pelajar gred tinggi akan mengikut kelas dalam talian.
Sekatan yang lebih ketat itu juga akan dikuatkuasakan di Kepulauan Aegean dan 10 daerah di seluruh Greece.
Sementara itu di Jerman, pihak berkuasa mengenakan sekatan terhadap pengembara yang kembali di negara itu susulan penulan varian baharu.
Jurucakap polis memaklumkan sekatan baharu itu akan dikenakan kepada pengembara yang kembali dari Britain, Irealand, Portugal, Afrika Selatan dan Brazil.
Perintah baharu itu dikuat kuasa bermula Jumaat lepas hingga 17 Februari ini.
Pada masa sama, syarikat penerbangan, kereta api, bas dan syarikat perkapalan tidak akan membenarkan penumpang dari negara-megara itu.
Perkhidmatan awam itu hanya dibenarkan buat rakyat Jerman. Jerman ketika ini dalam tempoh sekatan sehingga 14 Februari depan.
Di Venice, Itali, jalan-jalan utama dilaporkan sunyi tanpa orang ramai berkumpul.
Kebiasaannya, musim karnival dimulakan waktu ini setiap tahun di Venice.
Karnival yang sebelum ini meriah dengan perarakan dan pertunjuk kostum tradisional tidak lagi berlangsung tahun ini.
Ia susulan perintah sekatan yang ketat di bandar itu bagi mengekang pandemik COVID-19.
#Greece #Malaysia #COVID-19 #pandemik #Jerman #Venice #sekatan pergerakan #varian baharu #sekatan lebih ketat #gelombang ketiga
;