COVID-19: Sekatan pergerakan menyebabkan pemanasan bumi?
Astro Awani
Februari 5, 2021 07:38 MYT
Februari 5, 2021 07:38 MYT
PERCAYA atau tidak, sekatan pergerakan serta pengurangan aktiviti sosial di seluruh dunia disebabkan pandemik COVID-19 telah menyumbang kepada peningkatan suhu bumi.
Para saintis dari Pusat Kajian Atmosfera Amerika Syarikat (NCAR) mendapati peningkatan suhu global telah disebabkan oleh dua perkara tersebut.
Mereka berkata penggunaan bahan aerosol dan partikel dalam udara telah menyekat penembusan cahaya matahari ke bumi sebelum ini.
Namun, pengurangan penggunaan aerosol, terutamanya semasa tempoh sekatan pergerakan yang panjang, telah membenarkan lebih cahaya matahari menembusi lapisan udara dan memanaskan bumi.
Kesan ini lebih jelas dilihat di negara yang banyak menggunakan industri berat seperti Amerika Syarikat dan Rusia.
Kajian yang telah diterbitkan dalam 'Geophysical Research Letters' itu menyatakan suhu permukaan di beberapa kawasan di dunia meningkat dari 0.1 sehingga 0.3 darjah Celsius terutamanya ketika musim bunga.
"Pengurangan pelepasan gas dari industri berat, yang menyebabkan paling banyak pencemaran udara, telah memberi kesan jangka pendek terhadap suhu global.
"Dalam erti kata yang lain, pencemaran udara menurunkan suhu bumi," kata ahli saintis NCAR, Andre Gettelman.
Secara teori, pencemaran udara berkait rapat dengan pemanasan bumi.
Kajian baharu ini pula mengetengahkan pengaruh kompleks jenis pelepasan gas yang berbeza terhadap peningkatan suhu.
Namun para saintis percaya dalam jangka masa panjang, pandemik ini boleh memperlahankan kesan perubahan iklim akibat pengurangan pelepasan gas karbon dioksida.
Kesimpulan daripada kajian ini, para saintis menegaskan penggunaan bahan aerosol tetap memberi kesan negatif terhadap kesihatan.