COVID-19: Sekatan, penutupan tingkatkan masalah rabun kanak-kanak di China - Kajian
Agensi
Januari 15, 2021 12:07 MYT
Januari 15, 2021 12:07 MYT
PENUTUPAN dan sekatan dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 bermungkinan mempengaruhi tahap penglihatan kanak-kanak secara tidak langsung.
Menurut hasil kajian bersama oleh penyelidik China dan Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada Khamis mereka mendapati terdapat peningkatan masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak di negara China.
Dalam kalangan kanak-kanak berumur 6, 7 dan 8 tahun, penyelidik juga mendapati kadar rabun jauh atau myopia lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding mana-mana empat tahun sebelumnya.
Kadar rabun jauh bagaimanapun tidak berubah dengan ketara dalam kalangan kanak-kanak berumur 9 hingga 13 tahun, walaupun kanak-kanak yang lebih berusia menghabiskan lebih banyak masa secara dalam talian.
Menurut kajian 'Journal of the American Medical Association - Ophthalmology' yang diterbitkan di AS itu, pasukan penyelidik mendapati masalah rabun berkemungkinan berlaku akibat perintah berkurung di rumah.
Ia dilaksanakan sewaktu tempoh penting untuk perkembangan penglihatan kanak-kanak dimana golongan itu lebih peka terhadap perubahan persekitaran.
Memetik laporan berita CNN, para penyelidik terbabit menganalisis keputusan yang dikumpul daripada pemeriksaan penglihatan di sekolah di Feicheng, China.
Pemeriksaan dijalankan pada bulan Jun tahun lalu susulan penutupan sekolah di seluruh negara itu dari Januari hingga Mei.
Penyelidik mendapati peningkatan kadar rabun jauh paling ketara dikesan dalam kalangan kanak-kanak 6 tahun, yang mana menyaksikan lonjakan daripada 5.7 peratus pada 2019 kepada 21.5 peratus pada 2020.
Kadar rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 tahun meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan meningkat 1.4 kali dalam kalangan kanak-kanak berusia 8 tahun.
Penyelidik mengaitkan kenaikan kadar rabun jauh tersebut dengan pengurungan di rumah disebabkan wabak COVID-19 dan perubahan jumlah masa di hadapan skrin berbanding melakukan aktiviti di luar.
“Sekiranya pengurungan di rumah adalah satu keperluan, ibu bapa perlu mengawal dengan sebaik mungkin masa yang diluangkan kanak-kanak di depan skrin dan meningkatkan masa melakukan aktiviti luar sambil mengamalkan jarak sosial yang selamat,” kata penyelidik tersebut.
#rabun jauh
#myopia
#lockdown
#penutupan
#penyekatan
#China
#Kanak-kanak
#pengurungan di rumah
#masalah rabun
#rabun dekat
#COVID-19
#PKP