COVID-19: Sekatan bersiar-siar di pantai Perancis dikuatkuasa
Astro Awani
Februari 27, 2021 06:15 MYT
Februari 27, 2021 06:15 MYT
NICE: Penduduk di Nice, Perancis tidak dibenarkan bersiar-siar di tepi pantai sepanjang hujung minggu.
Ia selepas kerajaan melaksanakan sekatan sementara di beberapa kawasan dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Sejak petang Jumaat, sekatan tersebut dikuatkuasakan di Nice untuk sekurang-kurangnya dua minggu.
Ia juga merupakan sekatan tambahan perintah berkurung yang bermula pada jam 6 petang sehingga 6 pagi.
Sekatan seumpamanya turut dikuatkuasakan di Dunkirk.
Ini kerana, kedua-dua daerah itu mencatatkan peningkatan drastik dengan jumlah pesakit di hospital tidak dapat ditampung lagi.
Untuk rekod, Nice melaporkan jumlah jangkitan mingguan sehingga 800 kes dalam setiap 100,000 orang dan jumlah itu adalah empat kali lebih tinggi yang direkodkan di negara itu.