COVID-19: Sekatan baharu di Shanghai cetus bantahan
Astro Awani
April 25, 2022 08:45 MYT
April 25, 2022 08:45 MYT
SHANGHAI: Pihak berkuasa Shanghai dilaporkan memasang penghadang jaring di luar beberapa bangunan kediaman sebagai usaha berterusan untuk memerangi penularan COVID-19.
Namun ia mencetuskan bantahan orang awam berkenaan sekatan yang memaksa sekitar 25 juta penduduk bandar itu untuk tinggal di rumah.
Tular di media sosial paparan penghadang jaring menutup seluruh jalan dengan pagar hijau setinggi kira-kira 2 meter pada Sabtu.
Ia turut mencetuskan persoalan dan aduan dalam kalangan penduduk yang berpendapat itu adalah tindakan tidak sewajarnya.
Bagaimanapun difahamkan pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.
Beberapa hari lepas, sekatan sudah mula dilonggarkan di Shanghai bagi membolehkan aktiviti ekonomi berjalan.