COVID-19: Scotland umum sekatan tahap tertinggi bendung varian baharu
Astro Awani
Disember 22, 2020 06:41 MYT
Disember 22, 2020 06:41 MYT
EDINBURGH: Scotland mengumumkan langkah sekatan tertinggi iaitu tahap keempat bagi memerangi varian baharu COVID-19 yang dilapor mempunyai kadar penularan tinggi.
Menteri Pertama, Nicola Sturgeon berkata sekatan yang lebih ketat diperlukan negara itu bagi mengekang varian berkenaan.
"Sekatan tahap empat ketika ini tidak begitu ketat seperti penutupan bulan Mac dan sehingga sekarang merupakan hal yang baik.
"Namun, nampaknya kita mungkin menghadapi virus yang tersebar lebih cepat daripada sekarang berbanding bulan Mac.
“Jadi kita perlu mempertimbangkan apakah sekatan tahap empat semasa akan mencukupi untuk mengurangkannya pada minggu-minggu mendatang," katanya.
Tambah Sturgeon, varian baharu COVID-19 itu dilapor tersebar dengan lebih cepat berbanding virus biasa.
Tambahnya, akan ada penilaian untuk pastikan sekatan tahap tertinggi negara itu mencukupi untuk mengurangkan penyebaran virus.
Sekatan terbaharu ini akan menyaksikan sektor perhotelan, kedai runcit dan perniagaan tidak penting ditutup.
Sturgeon turut menjelaskan tarikh pelajar kembali ke sekolah menjelang tahun baharu juga sedang dikaji.
Dalam masa yang sama, beliau turut memberi peringatan kepada kerajaan UK untuk percepatkan rundingan pembukaan sempadan di Perancis untuk memastikan dagangan berjalan lancar.
Beberapa negara dunia melarang penerbangan dan perjalanan dari UK kerana bimbang tentang varian baharu virus tersebut.