COVID-19: Satu suntikan vaksin Johnson & Johnson mampu cegah jangkitan - FDA

Astro Awani
Februari 24, 2021 07:15 MYT
Suntikan vaksin Johnson & Johnson juga membantu mempercepatkan vaksinasi dengan hanya memerlukan satu dos berbanding vaksin lain yang memerlukan dua dos. - Gambar fail
SATU dos suntikan vaksin Johnson & Johnson menawarkan perlindungan yang kuat terhadap COVID-19 tahap teruk berdasarkan analisis pengawal selia Amerika Syarikat.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika mengesahkan, secara keseluruhan, kadar keberkesanan vaksin Johnson & Johnson adalah 66 peratus untuk mencegah COVID-19 tahap sederhana hingga teruk.
Keberkesanannya meningkat sekitar 85 peratus terhadap tahap yang parah.
Suntikan vaksin Johnson & Johnson juga membantu mempercepatkan vaksinasi dengan hanya memerlukan satu dos berbanding vaksin lain yang memerlukan dua dos.
Pada masa sama, ia selamat digunakan.
Panel Penasihat FDA, Dr Paul Offit bagaimanapun berkata, tiada vaksin yang dapat dibandingkan secara langsung, namun katanya, satu dos vaksin Johnson & Johnson dilihat berupaya mencegah tahap parah COVID-19 berbanding dua dos vaksin lain.
"Saya rasa apa yang anda mahukan daripada vaksin ini adalah agar anda menjauhi hospital, menjauhi unit rawatan rapi dan tidak berakhir dengan kematian.
"Tentunya semua vaksin, Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson nampak boleh melakukannya. Itulah yang kita mahukan. Sudah pasti, semua vaksin memberikannya," katanya.
FDA berharap pihaknya dapat membuat keputusan akhir dalam beberapa minggu ini mengenai penggunaan vaksin Johnson & Johnson.
Proses pengedaran vaksin berjalan dengan perlahan di Amerika Syarikat disebabkan masalah logistik dan cuaca.
#vaksin #COVID-19 #Amerika Syarikat #FDA #satu dos #tahap parah #tahap teruk #perlindungan #keberkesanan #Johnson #Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika #Paul Offit
;