COVID-19: Satu kes dilaporkan, Canberra kuat kuasa perintah berkurung

Astro Awani
Ogos 12, 2021 05:15 MYT
Seorang pejalan kaki dilihat melintas jalan ketika perintah berkurung dilaksanakan di Sydney. - Foto fail/REUTERS
CANBERRA: Ibu negara Australia akan menguatkuasakan perintah berkurung selama seminggu bermula Khamis selepas satu kes jangkitan COVID-19 dilaporkan.
Canberra bersama dengan Sydney, Melbourne dan beberapa bandar di New South Wales akan menguatkuasakan perintah berkurung susulan penularan varian Delta.
Penduduk Canberra hanya boleh meninggalkan rumah atas urusan penting mulai jam 5 petang Khamis sementara kedai runcit akan ditutup dan restoran akan dibuka untuk tempahan bawa pulang sahaja.
Manakala sekolah hanya dibuka untuk pelajar yang tidak boleh tinggal di rumah.
Ketua Menteri Wilayah Persekutuan Australia Andrew Barr, sekatan itu adalah bertujuan untuk mengurangkan pergerakan dan potensi jangkitan wabak.
"Tujuan perintah berkurung ini bagi memastiakn orang ramai tidak bergerak sewenang-wenangnya.
"Virus ini merebak apabila orang bergerak dan mempunyai kontak antara satu sama lain," katanya.
Kes berkenaan merupakan jangkitan pertama yang dikesan di bandar dengan jumlah penduduk 460,000 orang sejak 10 Julai tahun lalu.
Seorang lelaki berusia 20-an, disahkan positif pada Khamis dengan punca jangkitan masih tidak diketahui.
#COVID-19 #perintah berkurung #Varian Delta #Canberra #Sydney #Melbourne #New South Wales
;