COVID-19: Satu kes dalam komuniti babitkan wanita Msia di Singapura pada Jumaat
Bernama
Januari 23, 2021 11:31 MYT
Januari 23, 2021 11:31 MYT
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan seorang wanita Malaysia berusia 26 tahun adalah kes baharu tunggal jangkitan tempatan COVID-19 yang dilaporkan di republik itu pada Jumaat.
Kementerian itu memaklumkan bahawa wanita berkenaan adalah rakan sekerja kepada Kes 59429, seorang lelaki Pemastautin Tetap Singapura berusia 39 tahun yang juga seorang petugas bahagian pemasaran di tempat sama.
Lelaki berkenaan disahkan positif COVID-19 pada 18 Jan, menurut MOH.
Kementerian memaklumkan wanita Malaysia itu telah dikuarantin pada 18 Jan selepas Kes 59429 didapati positif COVID-19, dan wanita itu juga menjalani ujian saringan pada 20 Jan walaupun tidak bergejala.
"Hasil ujian mendapati beliau positif pada keesokan harinya dan telah dihantar ke Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Ujian serologinya didapati negatif, menunjukkan yang ia adalah jangkitan semasa," menurut MOH.
Beliau adalah sebahagian daripada kluster Kes 59429 yang kini mempunyai lapan kes disahkan termasuk empat lagi rakyat Malaysia.
Sehingga kini, terdapat enam kluster di republik itu.
Setakat 12 tengah hari Jumaat, Singapura merekodkan 15 kes baharu iaitu 14 kes import dan satu jangkitan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,250 kes.
Satu daripada 14 kes import membabitkan seorang lelaki Singapura berusia 61 tahun yang pulang dari Malaysia dan mempunyai gejala.
-- BERNAMA
#Singapura
#Kementerian Kesihatan
#ujian saringan
#penyakit berjangkit
#rakyat Malaysia
#COVID-19
#Malaysia