COVID-19: Saringan besar-besaran di China diteruskan
Astro Awani
Mac 16, 2022 07:15 MYT
Mac 16, 2022 07:15 MYT
CHANGCHUN: Bandar Changchun di timur laut China yang kini dalam tempoh perintah berkurung dengan ujian saringan besar-besaran buat kali dilaksanakan pada Selasa.
Ia selepas jumlah kes harian COVID-19 meningkat lebih dua kali ganda berbanding hari sebelumnya.
Menurut pihak berkuasa, sejumlah 1,860 jangkitan tempatan dikesan dan lebih tiga perempat daripadanya melibatkan rakyat wilayah Jilin di timur laut.
Jumlah jangkitan di Changchun ialah 1,044 pada Selasa, meningkat daripada 460 sehari sebelumnya.
9 juta penduduk Changchun, hab pembuatan kereta, tidak dibenarkan keluar sejak Jumaat ketika pihak berkuasa menjalankan ujian besar-besaran berulang kali.
Sementara itu, bandar perniagaan selatan China, Shenzhen pada Rabu memasuki hari keempat dalam tempoh perintah berkurung.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan Shenzhen, 92 kes positif dikesan Selasa, termasuk 37 tidak menunjukkan simptom.
Bagaimanapun, tidak semua kawasan kejiranan di bandar itu berada di bawah sekatan yang ketat.
Malah, penduduk di kawasan yang tiada sebarang jangkitan komuniti masih boleh menjalankan aktiviti seperti biasa seperti membeli barangan keperluan harian.
Semua penduduk di Shenzhen akan menjalani tiga pusingan ujian.