COVID-19: Saintis, pengamal perubatan bantah cadangan UK henti sekatan

Astro Awani
Julai 10, 2021 10:32 MYT
Mereka yang membantah percaya kerajaan melakukan eksperimen yang berbahaya dan tidak beretika, dan mendesak rancangan peralihan pada 19 Julai itu dihentikan segera. - Gambar hiasan
LEBIH 4,000 saintis, doktor, jururawat dan golongan profesional lain menandatangani surat bantahan terhadap pelan kerajaan Britain untuk menghentikan sekatan kawalan pandemik COVID-19 di England bermula 19 Julai ini.
Melalui surat kepada jurnal perubatan Lancet yang disiarkan pada Rabu, kesemua mereka menegaskan, keputusan kerajaan itu disifatkan berbahaya, tidak beretika dan terlalu awal.
"Kerajaan UK perlu menimbang semula strategi dan tindakan yang akan dilakukan bagi melindungi orang awam termasuk kanak-kanak.
"Kami percaya kerajaan sedang melakukan eksperimen yang berbahaya dan tidak beretika dan kami mendesak rancangan peralihan pada 19 Julai itu dihentikan segera," kata mereka dalam kenyataan berkenaan.
Mereka juga mendesak kerajaan menangguhkan pembukaan semula sekatan kawalan sehingga negara itu mencapai kadar vaksinasi yang tinggi serta penjarakan dapat dilakukan sepenuhnya di sekolah.
"Sehingga saat itu, langkah-langkah kesihatan awam mesti merangkumi apa yang diminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," tambah kenyataan.
Surat itu, yang pada awalnya ditandatangani puluhan penyelidik, kini mengumpulkan lebih 4,200 tandatangan secara dalam talian.
Sementara itu, Pakar Epidemiologi dari Queen Mary University, Dr Deepti Gurdasani menyalahkan kerajaan yang didakwa sengaja mendedahkan kanak-kanak kepada jangkitan virus secara besar-besaran.
Kerajaan sepatutnya melindungi mereka di sekolah atau memvaksinasi mereka, katanya yang merupakan salah seorang penganjur bantahan berkenaan.
"Ini satu tindakan yang tidak beretika dan tidak boleh diterima. Anak-anak kita telah banyak menderita sejak tahun lalu dan sekarang kerajaan mahu melaksanakan eksperimen berbahaya ini," tegasnya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengumumkan cadangan menghentikan semua sekatan COVID-19 bermula 19 Julai ini dan menjadikannya sebagai "Hari Kebebasan".
Johnson dijangka mengumumkan mengenai keputusan akhir berkenaan dengan mengambil kira semua data pada 12 Julai ini.
United Kingdom merekodkan lebih 5 juta kes positif COVID-19 setakat ini, dengan jumlah kumulatif kes kematian adalah lebih 128,000 kes.
Dalam masa sama, 51.17 peratus atau lebih 34.2 juta penduduk negara itu telah menerima suntikan vaksinasi penuh COVID-19.
#Britain #England #United Kingdom #Perdana Menteri #COVID-19 #pandemik #kes positif #virus #Kanak-kanak #sekolah #WHO #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Boris Johnson #suntikan #jangkitan #dalam talian
;