COVID-19: AS sahkan kesan kes pertama varian Omicron

Astro Awani
Disember 2, 2021 08:15 MYT
Jelas Fauci, pesakit berkenaan kini sedang menjalani kuarantin dan semua kontak rapatnya telah diuji negatif, setakat ini. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Amerika Syarikat mengesan kes pertama varian baharu COVID-19 Omicron, pada Rabu.
Kes berkenaan ditemukan pada pesakit yang telah lengkap vaksin serta mengunjungi Afrika Selatan pada 22 November lalu dan disahkan positif tujuh hari kemudian.
Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat Dr Anthony Fauci berkata, pesakit itu telah menerima vaksin sepenuhnya, namun belum mendapatkan dos penggalak.
Jelasnya, pesakit berkenaan kini sedang menjalani kuarantin dan semua kontak rapatnya telah diuji negatif, setakat ini.
"Jabatan Kesihatan Awam California dan San Francisco dan CDC telah mengesahkan bahawa kes COVID-19 baru-baru ini dalam kalangan individu di California disebabkan oleh varian Omicron.
"Penjujukan genomik telah dijalankan di Universiti California di San Francisco, dan urutan itu telah disahkan di CDC sebagai konsisten dengan varian Omicron," katanya.
Fauci yang juga Ketua Penasihat Perubatan kepada Presiden Amerika Syarikat berkata, ia mungkin mengambil masa dua minggu atau lebih untuk mendapatkan gambaran tentang betapa mudahnya varian itu merebak dari individu ke individu, betapa teruk penyakit yang ditimbulkannya dan sama ada ia boleh memintas perlindungan yang disediakan oleh vaksin yang tersedia pada masa ini.
Jelasnya, tiada maklumat yang mencukupi setakat ini mengenai varian itu, tetapi profil molekul varian tersebut mencadangkan bahawa ia mungkin lebih mudah ditularkan.
Setakat ini, varian Omicron telah ditemui di lebih 20 negara.
#Omicron #Amerika Syarikat #Anthony Fauci #COVID-19
;