COVID-19: Rusia tangguh kuat kuasa sekatan tidak popular

Astro Awani
Januari 15, 2022 08:22 MYT
Tatyana Golikova mengumumkan pada Jumaat, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan sekatan baharu. - Gambar fail AP
KERAJAAN Rusia menangguhkan untuk mengenakan sekatan COVID-19 yang tidak popular di tempat awam terhadap mereka yang tidak divaksinasi.
Keputusan tersebut dicapai walaupun berlakunya peningkatan kes harian dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan terhadap penularan varian Omicron.
Timbalan Perdana Menteri Tatyana Golikova menjelaskan pada Jumaat, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan sekatan baharu walaupun terdapat ketidakpastian susulan perkembangan semasa penularan COVID-19.
Sekiranya rang undang-undang itu diteruskan, ia memerlukan rakyatnya menggunakan kod QR bagi mengesahkan vaksinasi dan membuktikan bebas COVID-19, atau pengecualian daripada suntikan imunisasi, sebelum dibenarkan memasuki mana-mana tempat awam.
Bagaimanapun, inisiatif tersebut mendapat tentangan dalam kalangan populasi antivaksin di negara itu.
Malah, jelas Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin, situasi bertambah sukar susulan penularan varian Omicron.
Difahamkan, pengumuman pelaksanaan sekatan baharu akan diumumkan minggu hadapan.
Untuk rekod, setakat ini Rusia mencatatkan lebih 10.7 juta kes dengan lebih 319,000 kematian sejak bermulanya pandemik COVID-19.
#COVID-19 #sekatan #Rusia #antivaksin
;