COVID-19: Rusia catat korban tertinggi empat hari berturut-turut

Astro Awani
Julai 3, 2021 08:18 MYT
Rusia sekali lagi mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi untuk empat hari berturut-turut. -Gambar fail
MOSCOW: Rusia sekali lagi mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi untuk empat hari berturut-turut.
Pada Jumaat, 679 kes kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan.
Namun, apa yang menjadi kebimbangan di negara itu ketika ini adalah tiada perintah sekatan yang akan dilaksanakan.
Perkara tersebut menjadi perdebatan hangat ketika ini di negara itu, selepas sejumlah 672 kematian direkodkan pada Khamis.
Malah jumlah kes harian juga mencatatkan peningkatan berganda berbanding sebelum ini, daripada 9,000 kes pada awal Jun kepada lebih 20,000 kes minggu ini.
Sejumlah 23,218 kes baharu direkodkan pada Jumaat.
Pihak berkuasa masih tidak mengeluarkan sebarang garis panduan baharu susulan keadaan membimbangkan ini.
Malah, menurut Timbalan Datuk Bandar Moscow, Anastasiya Rakova, perintah sekatan adalah langkah terakhir yang akan dilaksanakan Moscow.
Bagi mengelakkan perkara tersebut, pelbagai langkah pencegahan akan dilakukan.
Ini termasuk mempercepatkan kadar vaksinasi di negara itu.
Untuk rekod, 15 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat negara itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
#Rusia #COVID-19 #jumlah kematian #suntikan #Moscow #perintah sekatan #Anastasiya Rakova #kadar vaksinasi
;