COVID-19: Rumah jagaan warga emas di New York wajib buat ujian saringan

Astro Awani
Mei 11, 2020 08:30 MYT
Penghuni rumah penjagaan di New York yang dikesan positif COVID-19 tidak akan dibenarkan pulang, sebaliknya akan terus dirawat di hospital. Gambar fail/ AP
RUMAH jagaan warga emas di New York diwajibkan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas kakitangannya sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Gabenor New York, Andrew Cuomo yang bercakap mengenai arahan terbaharu dalam mengawal penularan di premis terbabit, turut memaklumkan, penghuni yang dikesan positif virus itu juga tidak akan dibenarkan pulang semula ke rumah penjagaan.
Langkah ini diumum Cuomo selepas bandar raya itu berdepan kritikan berhubung pengendalian penularan wabak di rumah jagaan warga emas.
Daripada lebih 26,000 kematian di rumah penjagaan, satu perlima daripadanya adalah di New York.
“Semua kakitangan rumah penjagaan mesti diuji dua kali seminggu. Ini bukan hanya pemeriksaan suhu badan, tetapi ujian diagnostik.
“Kami sudah menyediakan ujian berkenaan. New York mempunyai kapasiti mengendalikan ujian lebih tinggi berbanding mana-mana negeri lain. Ini adalah arahan, ia bukan pelaksanaan sukarela.
“Selepas ini hospital tidak boleh membenarkan pesakit dari rumah penjagaan kembali ke sana melainkan mereka negatif COVID-19. Kita tidak lagi menghantar mereka pulang ke rumah penjagaan jika dikesan positif,” katanya.
Sebelum ini penghuni rumah penjagaan yang dikesan positif akan dibawa pulang ke fasiliti itu. Polisi ini bertujuan mengurangkan kesesakan di hospital.
#Amerika Syarikat #bandar raya #COVID-19 #Hospital #kematian tertinggi #New York #rumah #rumah penjagaan #warga tua
;