COVID-19: Risiko dijangkiti dalam pesawat adalah rendah - Kajian

Astro Awani
Oktober 16, 2020 08:00 MYT
Dengan menganggarkan hanya seorang dijangkiti dalam satu pesawat, ia tidak akan memberi kesan kepada penumpang lain dalam kabin. - Unsplash.com
RISIKO untuk dijangkiti COVID-19 ketika dalam penerbangan adalah rendah.
Kajian oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mendedahkan ketika penumpang duduk dengan memakai pelitup muka, hanya 0.003 peratus partikel udara di dalam zon pernafasan seseorang penumpang adalah berjangkit, walau setiap kerusi dipenuhi.
Dengan menganggarkan hanya seorang dijangkiti dalam satu pesawat, ia tidak akan memberi kesan kepada penumpang lain dalam kabin.
Kajian yang dibuat di pesawat United Airlines Boeing 777 dan 767 itu menunjukkan, pelitup muka membantu mengurangkan pendedahan kepada jangkitan apabila seseorang individu batuk, walaupun duduk bersebelahan.
Sekitar 99.99 peratus partikel akan disaring keluar dari kabin dalam tempoh enam minit berikutan pengudaraan yang pantas, dan sistem penyaringan di pesawat.
Kajian turut menganggarkan, bagi seseorang untuk mendapatkan jangkitan, mereka perlu berada dalam kabin selama 54 jam bersama penumpang yang dijangkiti.
Kajian selama enam bulan itu melibatkan 300 ujian ketika 38 jam waktu penerbangan dan 45 jam ujian di darat.
Ia dilakukan dengan melepaskan partikel berukuran sama dengan COVID-19 di seluruh kabin mengikut seksyen, masing-masing dilengkapi 42 sensor yang mewakili penumpang yang terdedah dengan partikel itu.
Setiap ujian akan melepaskan 180 juta pertikel yang merupakan jumlah partikel yang dihasilkan melalui ribuan kali batuk.
Antara yang turut mengambil bahagian dalam kajian ini adalah Boeing Co dan agensi penyelidikan pertahanan (DARPA).
#COVID-19 #DARPA #risiko dijangkiti dalam pesawat #Boeing #penerbangan #United Airlines #Jabatan Pertahanan #pelitup muka
;