COVID-19: Ratusan ribu bunga dicantas, elak orang ramai berkunjung ke taman

Syahirah Hani Roslan
April 24, 2020 12:22 MYT
Lebih 80,000 bunga tulip di daerah Chiba dicantas sebagai langkah mengelak orang ramai daripada berkunjung ke situ ketika wabak COVID-19. -Foto Reuters
PIHAK berkuasa di Jepun mengambil keputusan mencantas lebih 80,000 bunga tulip di daerah Chiba sebagai langkah mengelak orang ramai berkunjung ke situ ketika wabak COVID-19.
Menurut laporan Japan Today, tindakan ini adalah satu-satunya jalan untuk mengelakkan orang ramai daripada berhimpun.
Walaupun Festival Tulip Sakura tahun ini dibatalkan, namun orang ramai masih mengunjungi lokasi tersebut untuk menikmati pemandangan cantik bunga-bunga di situ.
Festival yang pada mulanya dijadualkan pada 1 dan 26 April terpaksa dibatalkan setelah Jepun mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama sebulan bermula 7 April di Tokyo melibatkan daerah Fukuoka, Saitama, Kanagawa, Chiba, Osaka dan Hyogo.
"Untuk mengelakkan penularan jangkitan virus, 800,000 tulip telah dicantas selepas festival yang sepatutnya diadakan di dataran Sakura Furusato di Bandar Sakura, Chiba dibatalkan," menurut kenyataan media.
Penggemar bunga terpaksa menunggu sehingga tahun hadapan untuk melihat bunga tulip merah dan merah jambu yang menghiasi dataran berkeluasan 7,000 meter persegi itu mekar.
Sementara itu, lebih 3,000 jambakan ros juga dicantas di Taman Yono, Saitama, utara Tokyo bagi menghalang orang ramai datang berkunjung.
"Sayang sekali. Hati saya sayu melihat bunga-bunga itu," kata pengunjung Misako Yonekubo.
Walau bagaimanapun, bunga-bunga yang dicantas itu tidak dibuang, sebaliknya didermakan kepada sekolah-sekolah tadika.
#Bunga #Japan #Jepun #Kementerian Kesihatan #koronavirus #Media #musim bunga #Tokyo #virus
;