COVID-19: Ramai langgar peraturan kuarantin, Korea Selatan umum guna gelang elektrik
Bernama
April 11, 2020 10:49 MYT
April 11, 2020 10:49 MYT
Korea Selatan pada Sabtu mengumumkan akan menggunakan gelang elektrik kepada mereka yang melanggar peraturan kuarantin sendiri, dalam usaha untuk menghentikan penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Yonhap.
Perdana Menteri Chung Sye-kyun berkata langkah itu diambil berikutan kes melanggar arahan kuarantin semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini yang mencetuskan kebimbangan.
"Selepas mempertimbangkan dengan mendalam, kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan penggunaan gelang elektrik kepada mereka yang melanggar peraturan kuarantin sendiri, seperti ke luar tanpa kebenaran dan tidak menjawab panggilan telefon," kata Chung.
Dalam tinjauan baru-baru ini membabitkan 1,000 responden, 80.2 peratus daripadanya menyokong cadangan itu.
Bagaimanapun, ada berpendapat langkah itu boleh melanggar hak asasi manusia.
Kerajaan ketika ini menggunakan aplikasi telefon bimbit bagi memantau pematuhan kuarantin tetapi banyak kes dilaporkan, penduduk meninggalkan telefon mereka di rumah atau mematikan fungsi sistem pengesanan lokasi GPS masing-masing.
Setakat Khamis, lebih 54,000 orang berada di bawah kuarantin sendiri. Lebih 160 orang ditahan kerana melanggar peraturan kuarantin.
-- BERNAMA
#Chung Sye-kyun
#gelang elektrik
#hak asasi manusia
#kerajaan
#Korea Selatan
#koronavirus
#kuarantin
#langgar peraturan
#penularan
#Perdana Menteri
#rumah
#tinjauan
#wabak