COVID-19: Putera William, Kate Middleton lancar kempen tangani masalah kesihatan mental
Agensi
April 18, 2020 08:11 MYT
April 18, 2020 08:11 MYT
Pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton melancarkan kempen 'Every Mind Matters' bagi membantu orang ramai menangani masalah kesihatan mental ketika penularan COVID-19 ketika ini.
Menurut Duke of Cambridge itu, baginda risau dengan tahap kesihatan mental petugas perubatan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik itu.
"Saya berpendapat petugas perubatan NHS kini dalam keadaan sukar apabila perlu berhadapan dengan pesakit COVID-19 setiap hari dan mereka perlu menjaga dengan rapi pesakit yang dalam keadaan kritikal.
"Mereka ini yang terpaksa berdepan perasaan takut dan kesunyian dalam kalangan pesakit dan mereka membawa perasaan ini pulang berhadapan ahli keluarga pula.
"Justeru, kempen ini akan membantu mereka untuk kekal positif selain memastikan mereka dalam keadaan sihat, fizikal dan mental," katanya semasa melancarkan kempen tersebut menerusi rakaman web pada Jumaat.
Untuk rekod, kempen tersebut membolehkan orang ramai termasuk petugas perubatan mendapatkan pelan saringan kesihatan mental secara dalam talian.
Mereka boleh mendapatkan tip kesihatan mental semasa memerangi pandemik ini.
Pada masa sama, Kate menyifatkan semua petugas barisan hadapan termasuk petugas perubatan di negara itu melakukan pekerajaan yang luar biasa.
Setakat Jumaat, United Kingdom mencatatkan 108,692 kes positif dengan 14,576 kematian.
#COVID-19
#Duke of Cambridge
#Kate Middleton
#kesihatan mental
#NHS
#Pasangan diraja Britain
#Putera William