COVID-19: Pusat ujian saringan di Belgium selepas kes naik mendadak

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 14, 2020 21:04 MYT
Pelajar universiti di Brussels memakai pelitup muka bagi megelakkan jangkitan COVID-19. -Gambar fail
BRUSSELS: Pasukan Palang Merah Belgium menubuhkan pusat ujian saringan COVID-19 bagi membantu memenuhi permintaan ujian selepas kes positif naik mendadak di negara itu.
Belgium melaporkan lebih daripada 800 jangkitan sehari dan memaksa penutupan bar dan restoran sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan.
Menurut jurucakap Palang Merah, waktu melakukan ujian perlu ditempah dua atau tiga hari sebelum.
Tambahnya, dalam masa terdekat, pasukan Palang Merah dapat membuat ujian sebanyak mungkin yang boleh hingga mencecah 1,000 ujian sehari.
Dalam pada itu, dia juga berharap kerajaan dapat menutup bar dan restoran di Brussels lebih dari sebulan.
Pelajar universiti merupakan antara golongan yang menyebarkan virus tersebut dengan cepat.
Menurut salah seorang pelajar, Coleen Vuylsteke, dia menjalani ujian saringan selepas rakan kelasnya disahkan positif virus berkenaan.
"Kami menerima berita bahawa kolej kami diletakkan dalam zon merah sejak semalam, jadi kelas kami dijalankan dalam talian sehingga akhir Disember ini, sehingga Krismas nanti," ujarnya
Dengan populasi seramai 11.5 juta penduduk, Belgium merekodkan 165,000 kes positif COVID-19 sejak ia mula merebak di negara itu.
#Belgium #COVID-19 #Palang Merah Belgium #pusat ujian saringan #kes positif #ujian saringan #Coleen Vuylsteke