COVID-19: Puasa belum lagi, bazar raya Singapura batal tahun ini
Razak Chik
Mac 18, 2020 05:55 MYT
Mac 18, 2020 05:55 MYT
SINGAPURA begitu tegas mengambil langkah proaktif membanteras penularan COVID-19 dengan mengumumkan pembatalan penganjuran Bazar Raya tahun ini.
Keputusan itu diumum Pertubuhan Rakyat (People’s Association) Singapura memandangkan pandemik COVID-19 masih bermaharajalela melibatkan satu dunia.
Singapura mencatatkan 266 kes setakat ini, dan berbeza dengan Malaysia belum ada pesakit yang meninggal.
People’s Association merupakan satu badan berkanun diwujudkan kerajaan republik itu bertujuan memupuk semangat harmoni kalangan kaum di Singapura.
Setiap tahun sebelum ini, Bazar Raya biasanya dianjur beberapa hari sebelum bermula bulan Ramadan dan berakhir pada 1 Syawal sempena hari raya Aidil Fitri.
Tahun ini, Bazar Raya sepatutnya berlangsung pada (18 April – 24 Mei) di beberapa lokasi yang tinggi penumpuan Melayu Singapura – di Woodlands, Geylang Serai dan Tampines.
Berita pembatalan itu diumum melalui satu siaran media yang dikeluarkan pada Rabu.
Menurut People’s Association (PA), penganjuran acara seperti Bazar Raya sebelum ini menarik perhatian dan pengunjung yang akan bersesak-sesak membeli-belah.
“Pembatalan ini sudah tentu akan menimbulkan kekecewaan pengunjung tegar dan peniaga dan sedikit sebanyak mengurangkan keceriaan pada Ramadan dan Hari Raya,” menurut People’s Association.
Namun, negara terpaksa menghadapi realiti bahaya penularan COVID-19.
Tambahnya, sebarang acara yang menarik penyertaan lebih dari 250 pengunjung dikira sebagai tidak sesuai buat masa ini.
Persiapan untuk penganjuran Bazar Raya tahun ini sudah mencapai peringkat jemputan tender. Keputusan PA pada Rabu sekali gus membatalkan sebarang penawaran tender kepada mana mana pihak.
Menurut PA, pembatalan menyeluruh itu bukan hanya melibatkan penganjuran Bazar Raya tetapi turut melibatkan mana mana acara pesta bermula Rabu ini.