COVID-19: PSBB kembali berkuat kuasa di Jakarta mulai 14 Sept

Bernama
September 9, 2020 04:24 MYT
Kes positif baharu di provinsi Jakarta berterusan meningkat sejak akhir Ogos lepas dengan kadar purata hampir 1,000 kes setiap hari. - Gambar hiasan/REUTERS
Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) kembali berkuat kuasa di Jakarta bermula 14 Sept ini berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di provinsi itu.
Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam sidang media di laman YouTube rasmi pemerintah provinsi itu malam tadi mengumumkan pembatalan beberapa aktiviti sosioekonomi yang dibenarkan dalam fasa transisi PSBB.
Jakarta menguatkuasakan PSBB bermula 31 Mac lepas sebelum membenarkan aktiviti sosioekonomi terbabit dalam fasa transisi PSBB pada 5 Jun 2020.
Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkaitan COVID-19 iaitu www.covid19.go.id pada Rabu, provinsi Jakarta mencatat kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 49,397 kes dengan tambahan 1,004 kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas.
Kes positif baharu di provinsi Jakarta berterusan meningkat sejak akhir Ogos lepas dengan kadar purata hampir 1,000 kes setiap hari.
BACA: COVID-19: Indonesia catat 2,345 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam
Anies berkata hospital di Jakarta akan mencapai kapasiti maksimum pada 17 Sept ini sekiranya trend kes baharu itu berterusan.
"Warga Jakarta akan kembali berkegiatan di rumah, beribadat di rumah, bekerja dari rumah dan belajar dari rumah," katanya.
BACA: COVID-19: Kes positif di Indonesia terus meningkat, jumlah terkini 111,455 dengan 5,236 kematian
Beliau berkata peraturan ganjil genap (peraturan penggunaan kenderaan peribadi) akan ditiadakan kerana pembatasan terhadap operasi pengangkutan awam kembali dikuatkuasakan, yang akan diumumkan lebih lanjut kelak.
Pergerakan keluar masuk dari bandar lain ke Jakarta juga akan dibataskan dan diumum secara terperinci selepas ini.
-- BERNAMA
#aktiviti sosioekonomi #Anies Baswedan #batal #fasa transisi #Hospital #Indonesia #Jakarta #keluar masuk bandar #kenderaan peribadi #kes positif #operasi #pengangkutan awam #peningkatan #peraturan ganjil genap #pergerakan #PSBB #sekatan
;